Sunday, March 7, 2010

PETALING STREET


Dari sejak aku pijak tanah pada hari ini, aku nekad berdiri dan berjalan mengelilingi pusat bumi dengan satu tujuan. Aku hanya meneroka. Aku akan berjumpa dengan semua jenis manusia dan makanan. Oleh itu, penerangan aku meliputi semua anggota yang aku sampaikan. Bukan satu tapi maksudnya lebih abstrak dengan warna dan tekstur.

Penerokaan aku bermula lewat tengah hari tadi, selepas aku bersiap-siap dengan kiraan masa 15 hingga 20 minit seperti yang ditetapkan oleh dua orang kawan untuk berjumpa dengan tiga orang kawan yang lain. Dengan kiraan masa itu aku hanya terlewat lebih kurang 8 minit sahaja. Tak lambat. Kawan 1 juga terlewat malah lebih dari yang aku lewat tadi. Juga tak lambat. Kawan 2 pula terlewat lebih dari aku dan Kawan 1 lewat. Maksudnya, dia sangat lambat sehingga kami sempat membeli Nasi Ayam atau Nasi Goreng atau juga kombinasi antara keduanya. Multiplayer. Nasi itu kami jamu di tengah panas, di tepi kereta, di bawah pokok dan di atas bahu jalan. Tapi tak kisah. Aku masih ada satu tujuan. Biarkan saja.

Apabila Kawan 3 sampai, kami pun memulakan perjalanan. Kemudian, dia singgah di satu stesen pam minyak yang bergabung dengan sebuah restoran makanan segera. Kawan 3 kata…

“Pi beli aiskrim, aku ada duit, beli tiga, semua vanilla, sapa bagi tumpah dalam keta..siap!”

Garang.

Aku pun berlari-lari ke kaunter menurut arahan tadi. Rezeki tak boleh ditolak. Kemudian, di dalam kereta, aku dan Kawan 1 makan dengan tertib sekali. Takut terkena bahana jeritan si kawan. Tapi aku masih tak puas, tujuan aku masih satu.

Sesampainya kami di destinasi pertama iaitu Muzium Orang Asli di Gombak, kami selesaikan apa sahaja yang patut. Membaca, memerhati, menyalin, mengambil gambar dan lain-lain. Kami kenali setiap kaum peribumi yang tercatat di situ. Ada Kaum Jah Kun, Kaum Sakai, Kaum Negrito, Kaum Mah Meri dan banyak lagi. Mereka semua berbeza. Unik dan bukan biasa-biasa, maka itu lah yang perlu kami tonjolkan dalam tugasan kami nanti. Tapi aku tak peduli, aku masih kekal dengan tujuan aku.

Petang itu, kami meneruskan perjalanan ke Pasar Seni. Tujuan kami adalah untuk mencari wayang kulit serta menghayati cara pembuatannya. Nak membeli, belum mampu. Tapi aku sudah lega kerana arah tuju aku yang satu itu semakin hampir. Kami pun sama-sama meneroka alam pasar yang penuh berseni itu. Kami ke Little India, Little Malay, Little Chinese dan Little sebagainya. Satu Dunia. Meneliti dan memahami setiap apa yang penting agar perjalanan hari ini behasil.

Sudah hampir lewat petang, dan aku juga makin ceria membayangkan tujuan aku. Aku mahu Tau Fu Fah. Dan hanya ada satu lorong di kota ini yang menghasilkan Tau Fu Fah seperti yang aku mahu. Petaling Street adalah tujuan aku. Dari jauh aku lihat dia. Aku yakin sebentar sahaja lagi aku mampu menyuap Tau Fu Fah itu ke mulut aku. Sudah lama sangat aku tak makan Tau Fu Fah dan hari ini dia seakan-akan memanggil aku. Aku dapat rasa dia dengan penuh berahi.

Kalau di Petaling Street ini, apa sahaja jenis manisan yang aku suka tapi jarang ada di mana-mana pasti ada. Buah-buahan segar yang di jual secara potong tidak terhad seperti di tempat lain. Di sini lebih segar. Bukan hanya Jambu tapi Jambu Air juga ada. Bukan sekadar Tembikai Merah tapi Tembikai Kuning, Tembikai Susu dan Tembikai Rockmelon juga ada. Bukan cuma Sengkuang tapi Sengkuang Cina pun ada. Begitu lah seterusnya, bila ada Kiwi Hijau, pasti ada Kiwi Kuning, Buah Naga Ungu atau Buah Naga Putih dan hampir rata-rata buah potong ini hanya dijual RM1 hingga RM2.50 sebungkus.

Di suatu sudut pada hujung jalan pula, akan ada seorang Pak Cik Cina, sedikit bongkok yang sentiasa setia berdiri di tepi basikal tuanya sambil membunyi-bunyikan loceng rezeki. Dan hampir setiap kali aku datang, Pak cik Cina ini akan pakai seluar pendek khakis, kemeja lengan pendek warna putih yang lusuh dan selipar getah warna hitam. Rambutnya pula di sikat tepi. Nampak kemas dan bersih walau dia hanya jual Gula Ketuk RM1. Gula Ketuk ini sangat lain. Rasa asli. Mak aku pun tak reti buat. Aku selalu musykil kalau Pak Cik Cina ini punya pewaris untuk meneruskan resipi pembuatan Gula Ketuknya. Kalau tak, sayang sekali.

Tak habis dengan itu, Air Mata Kucing yang dijual di lorong ini juga tak setanding dengan mana-mana tempat. Tauke yang dibantu oleh tiga orang pekerja pun tak menang tangan melayan permintaan pelanggan yang sentiasa ada dan memenuhi ruang gerai. Suasana lorong ini memang sibuk sehingga terasa bahangnya walaupun ada angin dingin yang kadang-kadang muncul. Ah memang tak sempurna kalau tak minum Air Mata Kucing di sini. Segar, sejuk dan sedap. Murah juga.

Kemudian, di persimpangan jalan akan ada pula Buah Berangan yang dipanggang. Penjualnya tak akan lekang dengan tuala putih yang menyangkut di leher. Aku pun akan sama terasa panasnya. Ruang kanan dan kiri akan terhala dengan asapnya yang kepul-kepul warna putih. Paling murah RM5 sebungkus. Itu pun sudah kira banyak boleh kongsi dua orang.

Tapi yang paling istimewa di lorong ini mesti lah Tau Fu Fah. Gerai Tauke Cina ini sangat kecil. Barang kali adalah dalam dua meter lebar tapi berbaris-baris pelanggannya. Selain Tau Fu Fah dia juga jual Air Tauhu panas dan sejuk. Boleh pilih nak gula merah atau gula putih. Pelanggan setia yang seperti aku boleh duduk di bangku tinggi belakang gerai dia. Duduk sahaja diam-diam. Jangan bising. Makan sampai licin. Satu mangkuk Tau Fu Fah atau Air Tauhu hanya RM1.30. Aku selalu pesan tiga dan hari ini aku harap untuk pesan yang sama.

Selesai sahaja rondaan di Pasar Seni, aku terus mengiringi kawan-kawan aku ke pintu keluar dan bertindak sebagai pemandu pelancong.

“Jom! Sini..sini..” Riang dan Ria aku tunjuk arah ke Petaling Street.

Tiba-tiba aku dapat rasakan rintik-rintik air jatuh mengenai kepala aku. Dua tiga orang kawan aku ini memang anti-bodinya lemah sedikit. Mereka mula bising-bising takut demam. Aku pula makin kecewa dalam diam. Dan akhirnya kami semua berkeliaran lari menembus hujan sehingga ke stesen keretapi Pasar Seni.

Dalam riuh kelibat manusia di petang hari, aku terasa sendirian, sepi dan hilang dalam sebuah tujuan. Aku tunduk diam. Melayan sakit jiwa yang perlahan-lahan mati. Tau Fu Fah..Tau Fu Fah.

2 comments:

Encik Luzzi said...

sabar sahajalah.

aku sendiri kempunan tak dapat menghayati detail penulisan kau sekiranya kau dapat makan tau fu fah tu.

pete said...

maksud ko aku kena kurangkan ke-detail-an penulisan aku?