Wednesday, February 24, 2010

MURNI SS2

Walau ini kisah tentang dunia, tentang manusia,tentang kebenaran, tentang siapa, apa, di mana atau bila, sebenarnya ia tak pernah jadi soal. Kerana ini semua adalah kisah biasa-biasa.

Ini kisah tentang makanan. Dan minuman. Tempat ini juga biasa bagi mereka yang suka makan. Dan minum. Tapi hari ini aku dan mereka sampai awal, pendek kata aku tak pernah lepak di sini seawal waktu ini. Jam aku yang cepat 10 minit ini pun baru menunjukkan pukul 7 malam. Jadinya, kami semua dapat duduk di dalam restoran ini. Malah meja kami pun yang paling ke dalam sekali. Paling dekat dengan stesen-stesen pembuatan dan penyediaan resepi tempat ini.

Mana ada menu. Bantai saja lah pesan apa pun yang penting tak melangkau pengetahuan penyediaan makanan tempat ini. Jadi aku pesan Mee Raja, mereka pula pesan Meatball Bolognese Spaghetti, Carbonara Spaghetti, Nasi Goreng Lamb Chop dengan Telur Mata dan Hawaii Pizza. Minuman pula, kami pesan I Love You, Mango Juice dan Pink Panther.

Macam biasa, Mee Raja dihidang dahulu. Raja memang kaya. Konsep itu aku pegang dan nikmatinya pada mee ini. Penuh udang sana dan sini dalam pinggan bulat depan aku ini. Mee Raja ini juga kaya dengan Crabmeat Stick yang disiat-siat kecil, Lobak Merak dan Kobis serta macam-macam lagi yang aku sudah penat untuk kira kerana banyak sangat campurannya. Secara jujur, rasa mee ini sangat plain tapi menarik. Tak perlu di paksa-paksa untuk mahu lagi dan lagi. Sihat.

Kemudian, hidangan spaghetti muncul satu-persatu di hadapan dan tepi aku. Merah dan putih. Yang merah itu biasa-biasa saja tapi Meatball nya boleh tahan. Yang putih itu menarik dengan tambahan Sosej dan Chicken Ham tapi gravy nya sedikit cair. Sedikit menghampakan.

Nasi Goreng Lamb Chop dengan Telur Mata pula sangat dasyat. Sangat banyak. Nasi goreng yang gelap itu ditemani dengan Kentang Goreng di sisinya, kemudian Lamb Chop itu dibanjiri Kuah Black Pepper dan Telur Mata pula menjadi hiasan dengan menutup hampir separuh ruang Nasi. Hampir sahaja tak tahu di mana langkah permulaan. Sentiasa perlukan bantuan. Jangan tamak.

Hawaii Pizza pula sampai pada kadar paling lewat sekali. Bagaikan betul-betul di impot dari negara luar. Saiz hidangan nya tak juga kecil. Ada campuran Ayam yang dicincang halus bersama Nenas, Telur, Sosej dan Cheese kemudian di bungkus menjadi bentuk empat segi dan diletakkan di atas dulang besi. Ala-ala hidangan Roti Canai atau Capati kalau di restoran mamak. Malah Kuah Dhal dan Kari juga dihidangkan bersama. Boleh tahan tapi tak adalah menjadi favourite.

Harga makanan di tempat ini boleh aku kira murah kerana saiz hidangannya yang luar biasa. Secara ringkasnya, semua jus yang spesial akan ada hirisan tembikai dan Nata de Coco (atau apa sahaja nama dia). Yang membezakannya adalah jenis buah atau perasa minuman itu. I Love You misalnya hanya menggunakan Ribena sebagai perasa. Kemudian hirisan Lemon dan Crush Ice dimasukkan sebelum Sprite dituang perlahan-lahan sehingga penuh ruang gelas agar tidak tercampur dengan lapisan Ribena. Setelah siap ia akan menampakkan dua layer yang menarik. Sedap dan tak mungkin menyesal dengan nikmat Sparkling minuman ini.

Apabila hampir ke semua makanan dalam pinggan licin. Dan minuman pun sudah sampai ke sedutan terakhir, baru aku rasa berdosa. Biasa lah. Ya Tuhan. Perut sangat membuncit sehingga tak mampu lagi melihat ke arah mana-mana makanan. Sangat penat juga kerana hampir setiap saat dipenuhi dengan gelak tawa yang tak berkesudahan. Masing-masing sudah merintih, merayu minta waktu untuk berehat. Jelas terpancar rasa muak dan mual pada bau-bauan yang mendatang. Bagai kan neraka makanan yang tak mampu lagi kami tahan. Tapi tak mampu bangun untuk teruskan saki-baki malam yang masih muda. Terseksa kekenyangan bagaikan ular sawa gemuk. Biasa saja.

No comments: