Thursday, February 25, 2010

BERITA DAN MAKLUMAT DALAM TALIAN BOLEH MEMBANTU MALAYSIA KE ARAH HUBUNGAN ANTARA ETNIK YANG LEBIH BAIK


Berita dan maklumat dalam talian mampu memantapkan integrasi nasional. Integrasi merupakan satu proses bagi mewujudkan satu identiti nasional dalam kalangan kumpulan yang terpisah dari segi kebudayaan, sosial dan lokasi dalam sesebuah unit politik (Ahmad Haji Kambar, 1987). Ia mampu merapatkan jurang antara masyarakat daripada semua negeri di Malaysia terutama antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak. Melalui konsep ini, setiap anggota masyarakat dapat berinteraksi dan saling bertukar maklumat seterusnya menjadi pemacu kepada perkembangan dan kemajuan sesebuah masyarakat.

Malaysia terdiri daripada masyarakat berbilang bangsa iaitu Melayu, Cina dan India. Ini diikuti dengan kepelbagaian etnik dan budaya yang diamalkan oleh setiap kelompok masyarakat. Hubungan antara etnik yang harmonis boleh menjadi kunci bagi keseimbangan antara kekukuhan ekonomi dan politik yang stabil. Justeru, pembangunan teknologi khususnya penyebaran berita dan maklumat dalam talian membantu Malaysia ke arah hubungan antara etnik yang lebih baik.

Penyebaran berita dan maklumat dalam talian membolehkan setiap individu memahami budaya masyarakat sendiri dan masyarakat lain dengan lebih terkini, mudah serta pantas. Sifat dan ciri-ciri etnik masyarakat lain perlu diketahui dan difahami kerana masyarakat itu adalah sesuatu yang dinamik. Hal ini sekaligus mewujudkan masyarakat yang berintelektual dan positif.

Dari segi bahasa pula, berita dan maklumat dalam talian memberi skop yang lebih luas dengan menggunakan kepelbagaian bahasa yang diguna pakai oleh masyarakat Malaysia. Antaranya bahasa Inggeris, bahasa Cina dan bahasa India. Malah ada beberapa laman sesawang yang menawarkan khidmat berita dan maklumat dalam dialek mengikut negeri seperti dialek di negeri Sarawak agar ianya lebih mudah di fahami. Maka usaha-usaha seperti ini mampu menerapkan persefahaman antara etnik dan seterusnya mewujudkan nilai-nilai murni dalam diri setiap individu.

Selain dapat membaca, melihat dan mendengar setiap material yang di naik turun dalam talian, masyarakat juga dapat memberi respon secara terus kepada empunya berita. Secara tidak langsung, berita dan maklumat dalam talian telah mewujudkan konsep komunikasi dua hala yang lebih interaktif. Setiap individu masyarakat mampu menyuarakan pendapat mahu pun bantahan dalam talian agar ianya dapat diketahui umum melalui medium yang lebih praktikal pada masa kini.

Interaksi antara etnik adalah penting dalam melaksanakan satu matlamat yang sama iaitu membentuk masyarakat Malaysia yang setia selain dapat memupuk nilai-nilai murni dalam diri. Menerusi konsep komunikasi yang wujud dalam talian, ia dapat mendekatkan jurang antara etnik. Di samping itu mereka akan dapat menerima dan memahami perbezaan setiap kaum. Faktor ini akan menghindar masyarakat daripada melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat dan menyalahi norma-norma kehidupan.


Berita dan maklumat dalam talian adalah perlu untuk melahirkan satu cara hidup masyarakat Malaysia yang dapat hidup berdampingan, berganding bahu, bertimbang rasa dan toleran. Di dalam sebuah negara yang bertaraf majmuk seperti di Malaysia, keharmonian hidup masyarakatnya bergantung kepada sikap mereka yang prihatin. Tanpa ruang penghayatan, maka masyarakat terjurus kepada perilaku negatif.

Oleh itu, berita dan maklumat dalam talian sentiasa membuka ruang perbincangan serta percambahan minda agar masyarakat sedar tentang tanggungjawab masing-masing. Hubungan antara etnik tidak harus dipandang remeh oleh mana-mana pihak kerana keteguhan dan kesetiaan masyarakat merupakan nadi kepada sesebuah negara itu. Justeru, dengan adanya berita dan maklumat dalam talian ia boleh membentuk hubungan antara etnik yang lebih baik
.

No comments: