Saturday, February 20, 2010

AYAM PENYET RIA


Selesai kuliah aku rimas kalau terus pulang ke asal. Aku mahu bebas, mahu joli walau jujurnya aku cuma berbaki rm20 minggu ini. Tak peduli aku terus menaiki sedan gagah bersama Tukang Pandu (TP) dan Tukang Arah (TA). Mereka juga punya hal sendiri untuk dibicara. Aku cuma pasang telinga sambil pandanganku senang memaling ke luar jendela. Banyak kereta, tak terkira. Pasir, debu, angin ada di mana mana. Jalan ini indah?

Sekitar Sunway Pyramid, kami merayau mencari pedoman untuk mengisi ruang perut yang kian goyah. Di mana jalan kebenaran? Kalau TP sedang cuba cuba diet, TA Mahukan nasi dan aku pula punya bajet kecil. Kami buntu hidayah.

Kemudian di MARAKESH, kami temui AYAM PENYET RIA; dan aku percaya masa depan kini cerah kembali. Menunya pelbagai, TP yakin dengan pilihan Bakso, TA mahukan Lele Penyet aka Ikan Keli dan aku cukup sekadar Gado-gado. Tapi tak sempurna makan kami tanpa Soda Gembira. Rasanya asyik seperti warnanya yang jambu.

Tiba-tiba TP hilang arah. Cemburu melihat TA yang teruja menikmati lelenya. Sambalnya saja sudah buat saliva dia kembang. Dia perhati segala macam subjek yang tak henti henti menerobos masuk ke dalam ruang mulut TA. Lele penyet garing bersama rencah rangup, Tempe, Tauhu malah hiasan Timun dan Kobis juga jadi luar biasa nikmatnya apabila dicicah sambal. Dia terpukau dengan bisikan nakal Sang Iblis. Walau pedas mana, sakit dan bahana apa sekalipun; dia mesti cuba. Lalu dia pesan lagi..

"Kak, Ayam Penyet satu." Lega aku dengar hembusan nafasnya.

Serentak itu, Penyet menang dan hasrat diet pun kalah. Janji hati yang riang!

Apa yang penting, Tukang pandu, Tukang Arah dan aku tak perlu balik kampung untuk rasa nikmat jawa. Tak rugi juga walau habis wang. Jalan ini yang terindah, irama blues, kaki goyang goyang, jiwa pun tenang.


'When the purse is empty, the heart is filled'

No comments: