Sunday, March 7, 2010

PETALING STREET


Dari sejak aku pijak tanah pada hari ini, aku nekad berdiri dan berjalan mengelilingi pusat bumi dengan satu tujuan. Aku hanya meneroka. Aku akan berjumpa dengan semua jenis manusia dan makanan. Oleh itu, penerangan aku meliputi semua anggota yang aku sampaikan. Bukan satu tapi maksudnya lebih abstrak dengan warna dan tekstur.

Penerokaan aku bermula lewat tengah hari tadi, selepas aku bersiap-siap dengan kiraan masa 15 hingga 20 minit seperti yang ditetapkan oleh dua orang kawan untuk berjumpa dengan tiga orang kawan yang lain. Dengan kiraan masa itu aku hanya terlewat lebih kurang 8 minit sahaja. Tak lambat. Kawan 1 juga terlewat malah lebih dari yang aku lewat tadi. Juga tak lambat. Kawan 2 pula terlewat lebih dari aku dan Kawan 1 lewat. Maksudnya, dia sangat lambat sehingga kami sempat membeli Nasi Ayam atau Nasi Goreng atau juga kombinasi antara keduanya. Multiplayer. Nasi itu kami jamu di tengah panas, di tepi kereta, di bawah pokok dan di atas bahu jalan. Tapi tak kisah. Aku masih ada satu tujuan. Biarkan saja.

Apabila Kawan 3 sampai, kami pun memulakan perjalanan. Kemudian, dia singgah di satu stesen pam minyak yang bergabung dengan sebuah restoran makanan segera. Kawan 3 kata…

“Pi beli aiskrim, aku ada duit, beli tiga, semua vanilla, sapa bagi tumpah dalam keta..siap!”

Garang.

Aku pun berlari-lari ke kaunter menurut arahan tadi. Rezeki tak boleh ditolak. Kemudian, di dalam kereta, aku dan Kawan 1 makan dengan tertib sekali. Takut terkena bahana jeritan si kawan. Tapi aku masih tak puas, tujuan aku masih satu.

Sesampainya kami di destinasi pertama iaitu Muzium Orang Asli di Gombak, kami selesaikan apa sahaja yang patut. Membaca, memerhati, menyalin, mengambil gambar dan lain-lain. Kami kenali setiap kaum peribumi yang tercatat di situ. Ada Kaum Jah Kun, Kaum Sakai, Kaum Negrito, Kaum Mah Meri dan banyak lagi. Mereka semua berbeza. Unik dan bukan biasa-biasa, maka itu lah yang perlu kami tonjolkan dalam tugasan kami nanti. Tapi aku tak peduli, aku masih kekal dengan tujuan aku.

Petang itu, kami meneruskan perjalanan ke Pasar Seni. Tujuan kami adalah untuk mencari wayang kulit serta menghayati cara pembuatannya. Nak membeli, belum mampu. Tapi aku sudah lega kerana arah tuju aku yang satu itu semakin hampir. Kami pun sama-sama meneroka alam pasar yang penuh berseni itu. Kami ke Little India, Little Malay, Little Chinese dan Little sebagainya. Satu Dunia. Meneliti dan memahami setiap apa yang penting agar perjalanan hari ini behasil.

Sudah hampir lewat petang, dan aku juga makin ceria membayangkan tujuan aku. Aku mahu Tau Fu Fah. Dan hanya ada satu lorong di kota ini yang menghasilkan Tau Fu Fah seperti yang aku mahu. Petaling Street adalah tujuan aku. Dari jauh aku lihat dia. Aku yakin sebentar sahaja lagi aku mampu menyuap Tau Fu Fah itu ke mulut aku. Sudah lama sangat aku tak makan Tau Fu Fah dan hari ini dia seakan-akan memanggil aku. Aku dapat rasa dia dengan penuh berahi.

Kalau di Petaling Street ini, apa sahaja jenis manisan yang aku suka tapi jarang ada di mana-mana pasti ada. Buah-buahan segar yang di jual secara potong tidak terhad seperti di tempat lain. Di sini lebih segar. Bukan hanya Jambu tapi Jambu Air juga ada. Bukan sekadar Tembikai Merah tapi Tembikai Kuning, Tembikai Susu dan Tembikai Rockmelon juga ada. Bukan cuma Sengkuang tapi Sengkuang Cina pun ada. Begitu lah seterusnya, bila ada Kiwi Hijau, pasti ada Kiwi Kuning, Buah Naga Ungu atau Buah Naga Putih dan hampir rata-rata buah potong ini hanya dijual RM1 hingga RM2.50 sebungkus.

Di suatu sudut pada hujung jalan pula, akan ada seorang Pak Cik Cina, sedikit bongkok yang sentiasa setia berdiri di tepi basikal tuanya sambil membunyi-bunyikan loceng rezeki. Dan hampir setiap kali aku datang, Pak cik Cina ini akan pakai seluar pendek khakis, kemeja lengan pendek warna putih yang lusuh dan selipar getah warna hitam. Rambutnya pula di sikat tepi. Nampak kemas dan bersih walau dia hanya jual Gula Ketuk RM1. Gula Ketuk ini sangat lain. Rasa asli. Mak aku pun tak reti buat. Aku selalu musykil kalau Pak Cik Cina ini punya pewaris untuk meneruskan resipi pembuatan Gula Ketuknya. Kalau tak, sayang sekali.

Tak habis dengan itu, Air Mata Kucing yang dijual di lorong ini juga tak setanding dengan mana-mana tempat. Tauke yang dibantu oleh tiga orang pekerja pun tak menang tangan melayan permintaan pelanggan yang sentiasa ada dan memenuhi ruang gerai. Suasana lorong ini memang sibuk sehingga terasa bahangnya walaupun ada angin dingin yang kadang-kadang muncul. Ah memang tak sempurna kalau tak minum Air Mata Kucing di sini. Segar, sejuk dan sedap. Murah juga.

Kemudian, di persimpangan jalan akan ada pula Buah Berangan yang dipanggang. Penjualnya tak akan lekang dengan tuala putih yang menyangkut di leher. Aku pun akan sama terasa panasnya. Ruang kanan dan kiri akan terhala dengan asapnya yang kepul-kepul warna putih. Paling murah RM5 sebungkus. Itu pun sudah kira banyak boleh kongsi dua orang.

Tapi yang paling istimewa di lorong ini mesti lah Tau Fu Fah. Gerai Tauke Cina ini sangat kecil. Barang kali adalah dalam dua meter lebar tapi berbaris-baris pelanggannya. Selain Tau Fu Fah dia juga jual Air Tauhu panas dan sejuk. Boleh pilih nak gula merah atau gula putih. Pelanggan setia yang seperti aku boleh duduk di bangku tinggi belakang gerai dia. Duduk sahaja diam-diam. Jangan bising. Makan sampai licin. Satu mangkuk Tau Fu Fah atau Air Tauhu hanya RM1.30. Aku selalu pesan tiga dan hari ini aku harap untuk pesan yang sama.

Selesai sahaja rondaan di Pasar Seni, aku terus mengiringi kawan-kawan aku ke pintu keluar dan bertindak sebagai pemandu pelancong.

“Jom! Sini..sini..” Riang dan Ria aku tunjuk arah ke Petaling Street.

Tiba-tiba aku dapat rasakan rintik-rintik air jatuh mengenai kepala aku. Dua tiga orang kawan aku ini memang anti-bodinya lemah sedikit. Mereka mula bising-bising takut demam. Aku pula makin kecewa dalam diam. Dan akhirnya kami semua berkeliaran lari menembus hujan sehingga ke stesen keretapi Pasar Seni.

Dalam riuh kelibat manusia di petang hari, aku terasa sendirian, sepi dan hilang dalam sebuah tujuan. Aku tunduk diam. Melayan sakit jiwa yang perlahan-lahan mati. Tau Fu Fah..Tau Fu Fah.

Thursday, February 25, 2010

BERITA DAN MAKLUMAT DALAM TALIAN BOLEH MEMBANTU MALAYSIA KE ARAH HUBUNGAN ANTARA ETNIK YANG LEBIH BAIK


Berita dan maklumat dalam talian mampu memantapkan integrasi nasional. Integrasi merupakan satu proses bagi mewujudkan satu identiti nasional dalam kalangan kumpulan yang terpisah dari segi kebudayaan, sosial dan lokasi dalam sesebuah unit politik (Ahmad Haji Kambar, 1987). Ia mampu merapatkan jurang antara masyarakat daripada semua negeri di Malaysia terutama antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak. Melalui konsep ini, setiap anggota masyarakat dapat berinteraksi dan saling bertukar maklumat seterusnya menjadi pemacu kepada perkembangan dan kemajuan sesebuah masyarakat.

Malaysia terdiri daripada masyarakat berbilang bangsa iaitu Melayu, Cina dan India. Ini diikuti dengan kepelbagaian etnik dan budaya yang diamalkan oleh setiap kelompok masyarakat. Hubungan antara etnik yang harmonis boleh menjadi kunci bagi keseimbangan antara kekukuhan ekonomi dan politik yang stabil. Justeru, pembangunan teknologi khususnya penyebaran berita dan maklumat dalam talian membantu Malaysia ke arah hubungan antara etnik yang lebih baik.

Penyebaran berita dan maklumat dalam talian membolehkan setiap individu memahami budaya masyarakat sendiri dan masyarakat lain dengan lebih terkini, mudah serta pantas. Sifat dan ciri-ciri etnik masyarakat lain perlu diketahui dan difahami kerana masyarakat itu adalah sesuatu yang dinamik. Hal ini sekaligus mewujudkan masyarakat yang berintelektual dan positif.

Dari segi bahasa pula, berita dan maklumat dalam talian memberi skop yang lebih luas dengan menggunakan kepelbagaian bahasa yang diguna pakai oleh masyarakat Malaysia. Antaranya bahasa Inggeris, bahasa Cina dan bahasa India. Malah ada beberapa laman sesawang yang menawarkan khidmat berita dan maklumat dalam dialek mengikut negeri seperti dialek di negeri Sarawak agar ianya lebih mudah di fahami. Maka usaha-usaha seperti ini mampu menerapkan persefahaman antara etnik dan seterusnya mewujudkan nilai-nilai murni dalam diri setiap individu.

Selain dapat membaca, melihat dan mendengar setiap material yang di naik turun dalam talian, masyarakat juga dapat memberi respon secara terus kepada empunya berita. Secara tidak langsung, berita dan maklumat dalam talian telah mewujudkan konsep komunikasi dua hala yang lebih interaktif. Setiap individu masyarakat mampu menyuarakan pendapat mahu pun bantahan dalam talian agar ianya dapat diketahui umum melalui medium yang lebih praktikal pada masa kini.

Interaksi antara etnik adalah penting dalam melaksanakan satu matlamat yang sama iaitu membentuk masyarakat Malaysia yang setia selain dapat memupuk nilai-nilai murni dalam diri. Menerusi konsep komunikasi yang wujud dalam talian, ia dapat mendekatkan jurang antara etnik. Di samping itu mereka akan dapat menerima dan memahami perbezaan setiap kaum. Faktor ini akan menghindar masyarakat daripada melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat dan menyalahi norma-norma kehidupan.


Berita dan maklumat dalam talian adalah perlu untuk melahirkan satu cara hidup masyarakat Malaysia yang dapat hidup berdampingan, berganding bahu, bertimbang rasa dan toleran. Di dalam sebuah negara yang bertaraf majmuk seperti di Malaysia, keharmonian hidup masyarakatnya bergantung kepada sikap mereka yang prihatin. Tanpa ruang penghayatan, maka masyarakat terjurus kepada perilaku negatif.

Oleh itu, berita dan maklumat dalam talian sentiasa membuka ruang perbincangan serta percambahan minda agar masyarakat sedar tentang tanggungjawab masing-masing. Hubungan antara etnik tidak harus dipandang remeh oleh mana-mana pihak kerana keteguhan dan kesetiaan masyarakat merupakan nadi kepada sesebuah negara itu. Justeru, dengan adanya berita dan maklumat dalam talian ia boleh membentuk hubungan antara etnik yang lebih baik
.

Wednesday, February 24, 2010

MURNI SS2

Walau ini kisah tentang dunia, tentang manusia,tentang kebenaran, tentang siapa, apa, di mana atau bila, sebenarnya ia tak pernah jadi soal. Kerana ini semua adalah kisah biasa-biasa.

Ini kisah tentang makanan. Dan minuman. Tempat ini juga biasa bagi mereka yang suka makan. Dan minum. Tapi hari ini aku dan mereka sampai awal, pendek kata aku tak pernah lepak di sini seawal waktu ini. Jam aku yang cepat 10 minit ini pun baru menunjukkan pukul 7 malam. Jadinya, kami semua dapat duduk di dalam restoran ini. Malah meja kami pun yang paling ke dalam sekali. Paling dekat dengan stesen-stesen pembuatan dan penyediaan resepi tempat ini.

Mana ada menu. Bantai saja lah pesan apa pun yang penting tak melangkau pengetahuan penyediaan makanan tempat ini. Jadi aku pesan Mee Raja, mereka pula pesan Meatball Bolognese Spaghetti, Carbonara Spaghetti, Nasi Goreng Lamb Chop dengan Telur Mata dan Hawaii Pizza. Minuman pula, kami pesan I Love You, Mango Juice dan Pink Panther.

Macam biasa, Mee Raja dihidang dahulu. Raja memang kaya. Konsep itu aku pegang dan nikmatinya pada mee ini. Penuh udang sana dan sini dalam pinggan bulat depan aku ini. Mee Raja ini juga kaya dengan Crabmeat Stick yang disiat-siat kecil, Lobak Merak dan Kobis serta macam-macam lagi yang aku sudah penat untuk kira kerana banyak sangat campurannya. Secara jujur, rasa mee ini sangat plain tapi menarik. Tak perlu di paksa-paksa untuk mahu lagi dan lagi. Sihat.

Kemudian, hidangan spaghetti muncul satu-persatu di hadapan dan tepi aku. Merah dan putih. Yang merah itu biasa-biasa saja tapi Meatball nya boleh tahan. Yang putih itu menarik dengan tambahan Sosej dan Chicken Ham tapi gravy nya sedikit cair. Sedikit menghampakan.

Nasi Goreng Lamb Chop dengan Telur Mata pula sangat dasyat. Sangat banyak. Nasi goreng yang gelap itu ditemani dengan Kentang Goreng di sisinya, kemudian Lamb Chop itu dibanjiri Kuah Black Pepper dan Telur Mata pula menjadi hiasan dengan menutup hampir separuh ruang Nasi. Hampir sahaja tak tahu di mana langkah permulaan. Sentiasa perlukan bantuan. Jangan tamak.

Hawaii Pizza pula sampai pada kadar paling lewat sekali. Bagaikan betul-betul di impot dari negara luar. Saiz hidangan nya tak juga kecil. Ada campuran Ayam yang dicincang halus bersama Nenas, Telur, Sosej dan Cheese kemudian di bungkus menjadi bentuk empat segi dan diletakkan di atas dulang besi. Ala-ala hidangan Roti Canai atau Capati kalau di restoran mamak. Malah Kuah Dhal dan Kari juga dihidangkan bersama. Boleh tahan tapi tak adalah menjadi favourite.

Harga makanan di tempat ini boleh aku kira murah kerana saiz hidangannya yang luar biasa. Secara ringkasnya, semua jus yang spesial akan ada hirisan tembikai dan Nata de Coco (atau apa sahaja nama dia). Yang membezakannya adalah jenis buah atau perasa minuman itu. I Love You misalnya hanya menggunakan Ribena sebagai perasa. Kemudian hirisan Lemon dan Crush Ice dimasukkan sebelum Sprite dituang perlahan-lahan sehingga penuh ruang gelas agar tidak tercampur dengan lapisan Ribena. Setelah siap ia akan menampakkan dua layer yang menarik. Sedap dan tak mungkin menyesal dengan nikmat Sparkling minuman ini.

Apabila hampir ke semua makanan dalam pinggan licin. Dan minuman pun sudah sampai ke sedutan terakhir, baru aku rasa berdosa. Biasa lah. Ya Tuhan. Perut sangat membuncit sehingga tak mampu lagi melihat ke arah mana-mana makanan. Sangat penat juga kerana hampir setiap saat dipenuhi dengan gelak tawa yang tak berkesudahan. Masing-masing sudah merintih, merayu minta waktu untuk berehat. Jelas terpancar rasa muak dan mual pada bau-bauan yang mendatang. Bagai kan neraka makanan yang tak mampu lagi kami tahan. Tapi tak mampu bangun untuk teruskan saki-baki malam yang masih muda. Terseksa kekenyangan bagaikan ular sawa gemuk. Biasa saja.

Saturday, February 20, 2010

ALISSARA THAI CUISINE

Petang itu redup dan sejuk. Barangkali mahu hujan. Aku layan jiwa parah dalam bingar. Mereka menari, menggila dengan lagu lagu dan mencetus hilai tawa orang sekeliling. Gembira tapi hanya sementara.

Apa pun ini hal yang lain;

Ini kenyataan tentang rasa cinta pada sebuah hidangan. SEAFOOD PEDANA. Ya, namanya saja sudah cukup gah di sisi aku. Anggun sekali. Rasanya romantis, tak akan ada benci atau sangsi. Percaya pada naluri bau-an-nya yang lazat.

Seperti ada keraian, udang, ikan, sotong, dan ketam bertemu dalam satu pesta rasa yang unik. Walau warnanya malap tapi ia penuh misteri. Rahsia zaman Alissara. Hanya taburan daun kari yang kekal hijau digoreng jadi hiasan. Mantap hasil seninya.

Tekstur kuahnya yang separa pekat masih mendidih saat ia dihidang. Cili potongnya mewangi. Sempurna rasa masam, manis dan masinnya. Bagai magis yang memukau seluruh deria rasa. Tak boleh kita sangkal. Harus kita jamu dengan nasi putih sebagai pelengkap. Rasa bahagia yang tak berkesudahan, hingga licin setiap jari dan pinggan.

Arkian, hujan pun turun mencurah laju, kemudian bergendanglah lagu bila malam makin padu dan aku beradu. Gembira hilang dalam gelap malam.

AYAM PENYET RIA


Selesai kuliah aku rimas kalau terus pulang ke asal. Aku mahu bebas, mahu joli walau jujurnya aku cuma berbaki rm20 minggu ini. Tak peduli aku terus menaiki sedan gagah bersama Tukang Pandu (TP) dan Tukang Arah (TA). Mereka juga punya hal sendiri untuk dibicara. Aku cuma pasang telinga sambil pandanganku senang memaling ke luar jendela. Banyak kereta, tak terkira. Pasir, debu, angin ada di mana mana. Jalan ini indah?

Sekitar Sunway Pyramid, kami merayau mencari pedoman untuk mengisi ruang perut yang kian goyah. Di mana jalan kebenaran? Kalau TP sedang cuba cuba diet, TA Mahukan nasi dan aku pula punya bajet kecil. Kami buntu hidayah.

Kemudian di MARAKESH, kami temui AYAM PENYET RIA; dan aku percaya masa depan kini cerah kembali. Menunya pelbagai, TP yakin dengan pilihan Bakso, TA mahukan Lele Penyet aka Ikan Keli dan aku cukup sekadar Gado-gado. Tapi tak sempurna makan kami tanpa Soda Gembira. Rasanya asyik seperti warnanya yang jambu.

Tiba-tiba TP hilang arah. Cemburu melihat TA yang teruja menikmati lelenya. Sambalnya saja sudah buat saliva dia kembang. Dia perhati segala macam subjek yang tak henti henti menerobos masuk ke dalam ruang mulut TA. Lele penyet garing bersama rencah rangup, Tempe, Tauhu malah hiasan Timun dan Kobis juga jadi luar biasa nikmatnya apabila dicicah sambal. Dia terpukau dengan bisikan nakal Sang Iblis. Walau pedas mana, sakit dan bahana apa sekalipun; dia mesti cuba. Lalu dia pesan lagi..

"Kak, Ayam Penyet satu." Lega aku dengar hembusan nafasnya.

Serentak itu, Penyet menang dan hasrat diet pun kalah. Janji hati yang riang!

Apa yang penting, Tukang pandu, Tukang Arah dan aku tak perlu balik kampung untuk rasa nikmat jawa. Tak rugi juga walau habis wang. Jalan ini yang terindah, irama blues, kaki goyang goyang, jiwa pun tenang.


'When the purse is empty, the heart is filled'

Sunday, January 31, 2010

ORKID THAI

Hari itu hari Rabu petang. Aku fikir petang Rabu akan bawa bahagia hingga ke malam. Bawa cahaya walau hanya ada RM27 di tangan. Mahu bikin cerita, petang itu perut aku pun berlagu lagi. Tamat kelas, aku bersama dengan teman pemakan lain telah pergi merayakan hari kami. Pergi makan di ORKID THAI Seksyen 9, Shah Alam.

Ada satu, dua, tiga, empat (itu aku), lima, enam dan tujuh orang sedang asyik mentelaah menu. Aku lihat dan kaji setiap menu dan harganya. Dari yang paling mahal hingga lah yang paling boleh tahan. Kemudian aku pesan satu Chinese Tea (RM1) dan satu Yee Mee with Udang Galah (RM6). Lama aku kira saat dan akhirnya makanan aku tiba pada saat paling genting. Aku lega.

Yee Mee aku digoreng garing kemudian dilimpahi tekstur kuah yang pekat dan likat buat aku syok tengok dia. Rasanya padat malah masih ada bait bait telur putih yang kelihatan. Hasil gaulannya kemas. Sempurna dan cantik bertemankan sayur sawi hijau, daun bawang dan dua ekor udang galah merah. Membuat aku jadi buta sebentar. Buta dengan panahan asapnya yang mewangi. Menusuk serobong hidung aku yang tak segan silu.

Aku pun bantai makan dengan sopan sekali. Makanan orang lain pun sama di bantai. Kami saling tukar tukar makanan. Syiok habis!

Makanan hari itu memang satu kesyukuran tapi bila bil datang, jantung aku hilang. Salah aku? Hish tak mungkin, makanya tangan lekas saja melambai ke arah waiter di hujung sana. Dia datang dengan dada bidang. Eksyen sungguh!

Aku tunjuk bil (bahagian aku),...

"Encik, kenapa saya punya RM15? Tadi saya order Yee Mee with Udang Galah, harganya RM6 tahu?"

Dia bilang, "Cik, Yee Mee ada Udang Galah , mestilah harganya mahal." Lalu dia tunjuk kembali menu ke aku.

Astargfirullahalazim...memang aku yang salah.

Dia bilang lagi, "Cik salah kan?!"

Babi! Malu betul. Tak payah lah nak ejek!!